Saturday, March 10, 2012

Kangar - Pak Bara - Koh Lanta - Krabi - Hatyai - Kangar

Siap. Semuanya telah siap sedia. Dari passport, insuran kereta, makanan, minuman, pakaian dan yang paling penting mood untuk mengembara juga telah sedia. Seawal jam 8.30 pagi kami telah berada di pintu masuk Wang Kelian. Pada waktu sebegini tidak banyak kereta yang ingin ke Thailand melalui pintu masuk ini. Kebanyakkan mereka akan masuk melalui Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar. Lagipun kereta kereta yang ingin masuk ke Thailand melalui Wang Kelian masih belum sampai lagi. Besok hari Krismas. Tentu banyak pelancung yang ingin menghabiskan cuti hujung tahun mereka dan ada diantara mereka yang memilih masuk ke Thailand  melalui Wang Kelian.


Urusan dengan pihak imigresen Malaysia dan Thailand berjalan lancar. Cuma pihak polis Malaysia yang bertugas pada hari itu ingin memastikan tiada apa apa yang melanggar tata susila undang undang Malaysia, lantas minta ditunjukkan geran kereta original. Mujurlah geran kereta  ada bersama dokumen perjalanan yang lain. Jika tidak, sedikit sebanyak akan menggangu kelancaran dan mood mengembara kami sekeluarga.




Setelah lebih satu jam memandu secara santai, melaui Wang Prachan, Chalong, Tha Phae, Khuan Pho, akhirnya kami sampai di Pantai Pak Bara didalam daerah La-ngu. 


Tujuan kami kesini kerana ingin menikmati keindahan laut dan menikmati makanan laut Thailand. Makanannya begitu sedap dan murah. Bayangkan makan tengahari satu keluarga 6 orang beserta minuman, baru 550 bhat. Itupun kami dikenakan harga pelancung rasanya, sabab sukar untuk  kami  berinteraksi dengan palayan yang tidak tahu berbahasa Malaysia mahupun Inggeris. Cuma senyuman yang terukir dibibir sambil sesekali mengganggukkan kepalanya. Entah faham entah kan tidak.  Akhirnya anak lelakiku  kedapur dan menunjukkan apa yang kami maksudkan. Namun itu semua amat menyeronokkan bagi kami sekeluarga. 


Setelah perut diisi, kami meneruskan perjalanan kami kesatu destinasi yang kami belum ketahui. Hanya berpandukan GPS dan sedikit info dari google earth (disemak malam sebelum bertolak) kami bergerak menyusuri bumi Thailand ini yang pada satu ketika dulu didalam gugusan kepulauan Melayu Nusantara.


Perjalanan begitu menarik sekali melalui jalan persisiran pantai Laut Andaman. Dengan kelajuan sekitar 80 -90 km/jam banyak kenderaan Thailand saling memotong kami. Perkara keselamatan amat penting disini. Jika terjadi kemalangan atau sesuatu musibah, masalah besar untuk kami sekeluarga. Bayangkan tiada siapa pun di Maaysia yang tahu di mana kami pada waktu ini.


--bersambung---

Wednesday, January 18, 2012

Danau Toba, Medan, Indonesia

Danau Toba, dari pandangan bilik hotel penginapan begitu tenang sekali. Air nya kebiruan beriak kecil takkala dihembus sang bayu begitu mengusik perasaan. Hotel tempat penginapan di Parapat ini terletak diatas puncak bukit mengadap ke Danau Toba. Cuaca begitu sejuk pada malam hari sehinggakan bilik bilik penginapan tiada di lengkapi alat penghawa dingin.

Cuma kalau mahu dikomenpun hanyalah kepada sarapan pagi yang disediakan. Tapi apalah sangat bagi kita orang pelancung ini. Yang penting perut diisi dan hati terhibur di tempat dan suasana baru ini. Mungkin selera kita dan mereka berbeza walaupun 'serumpun'.




Melihat jerih perit anak anak kecil suku Batak Toba ini mencari sesuap nasi, aku termanggu sejenak. Betapa beruntungnya anak anak kita di bumi sendiri. Tak hairanlah kalau mereka sanggup berdagang kemari kerana ingin menghadiahkan diri, sedikit kesenangan dan keselesaan hidup.

Berbekalkan sampan usang, mereka mengejar bot pelancung yang datang di sekitar "batu gantung" di Tasik Toba. Untung untung ada yang membaling Rupiah yang tersisa buat mereka. Apalah sangat sekadar 1 Rupiah itu (MYR 0.35) untuk dikongsi sesama mereka. Tapi, itu lah realitinya. Demi kelansungan, hidup mesti diteruskan.

Berlatarbelakangkan Pulau Samosir yang majoritinya penghuninya suku Batak Toba beragama Kristian, kanak kanak ini tampak ceria dan sedikit pun tidak menunjukan kesedihan dan keperitan hidup. Alam telah mengajar mereka erti perjuangan hidup dalam dunia Indonesia yang serba mencabar itu.


Perjalanan Dari Parapat ke Brastagi bukan lah sesuatu yang santai. Dengan keadaan jalan yang tidak begitu selesa menggundang banyak kegelisahan dan jemu yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hanya minat terhadap alam, telah mengantikan dengkuran dalam kenderaan. Mujurlah supir yang tidak banyak cakap dan sentiasa senyum itu menceriakan suasana. Pun begitu, semangat Acheh nya begitu terserlah apabila bertemu situasi pemanduan yang kurang bertolak ansur itu. Aku teringat satu papan tanda di tepi jalan yang tertulis "nyupir jangan ngantuk, ngantuk jangan nyupir". Sambil membunyikan hon yang kadang kala membingitkan telinga itu, beliau begitu cekap dia memandu dicelah celah kenderaan yang bertali arus itu.

Akan tetapi, segala kegusaran dan lenguh mengenderai Innova itu hilang apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa ini.

Sipiso piso menghempaskan diri begitu gagah sekali. Air nya yang deras menghempas batuan, begitu indah sekali seakan akan mengalunkan sebuah irama yang sukar di mengertikan. Air yang datang dari perut bumi, terjun setinggi 120 meter kedasar batuan menjadi sungai dan mengalir terus ke Danau Toba. Dingin percikan air halus begitu terasa sekali. Sesungguhnya alam itu adalah ilmu kepada yang mahu belajar dan memerhati.