Wednesday, January 18, 2012

Danau Toba, Medan, Indonesia

Danau Toba, dari pandangan bilik hotel penginapan begitu tenang sekali. Air nya kebiruan beriak kecil takkala dihembus sang bayu begitu mengusik perasaan. Hotel tempat penginapan di Parapat ini terletak diatas puncak bukit mengadap ke Danau Toba. Cuaca begitu sejuk pada malam hari sehinggakan bilik bilik penginapan tiada di lengkapi alat penghawa dingin.

Cuma kalau mahu dikomenpun hanyalah kepada sarapan pagi yang disediakan. Tapi apalah sangat bagi kita orang pelancung ini. Yang penting perut diisi dan hati terhibur di tempat dan suasana baru ini. Mungkin selera kita dan mereka berbeza walaupun 'serumpun'.




Melihat jerih perit anak anak kecil suku Batak Toba ini mencari sesuap nasi, aku termanggu sejenak. Betapa beruntungnya anak anak kita di bumi sendiri. Tak hairanlah kalau mereka sanggup berdagang kemari kerana ingin menghadiahkan diri, sedikit kesenangan dan keselesaan hidup.

Berbekalkan sampan usang, mereka mengejar bot pelancung yang datang di sekitar "batu gantung" di Tasik Toba. Untung untung ada yang membaling Rupiah yang tersisa buat mereka. Apalah sangat sekadar 1 Rupiah itu (MYR 0.35) untuk dikongsi sesama mereka. Tapi, itu lah realitinya. Demi kelansungan, hidup mesti diteruskan.

Berlatarbelakangkan Pulau Samosir yang majoritinya penghuninya suku Batak Toba beragama Kristian, kanak kanak ini tampak ceria dan sedikit pun tidak menunjukan kesedihan dan keperitan hidup. Alam telah mengajar mereka erti perjuangan hidup dalam dunia Indonesia yang serba mencabar itu.


Perjalanan Dari Parapat ke Brastagi bukan lah sesuatu yang santai. Dengan keadaan jalan yang tidak begitu selesa menggundang banyak kegelisahan dan jemu yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hanya minat terhadap alam, telah mengantikan dengkuran dalam kenderaan. Mujurlah supir yang tidak banyak cakap dan sentiasa senyum itu menceriakan suasana. Pun begitu, semangat Acheh nya begitu terserlah apabila bertemu situasi pemanduan yang kurang bertolak ansur itu. Aku teringat satu papan tanda di tepi jalan yang tertulis "nyupir jangan ngantuk, ngantuk jangan nyupir". Sambil membunyikan hon yang kadang kala membingitkan telinga itu, beliau begitu cekap dia memandu dicelah celah kenderaan yang bertali arus itu.

Akan tetapi, segala kegusaran dan lenguh mengenderai Innova itu hilang apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa ini.

Sipiso piso menghempaskan diri begitu gagah sekali. Air nya yang deras menghempas batuan, begitu indah sekali seakan akan mengalunkan sebuah irama yang sukar di mengertikan. Air yang datang dari perut bumi, terjun setinggi 120 meter kedasar batuan menjadi sungai dan mengalir terus ke Danau Toba. Dingin percikan air halus begitu terasa sekali. Sesungguhnya alam itu adalah ilmu kepada yang mahu belajar dan memerhati.