Thursday, December 12, 2013

Kemboja
(Perjalanan Menjelang Ramadhan 2012)

Salam dari Phnom Penh....

Bertolak dari Perlis bersama Usahawan Melayu dari Dewan Perniagaan Melayu Perlis. Sebagai orang ketiga dalam DPMMS, aku mengambil tanggungjawab untuk memastikan ahli ahli kumpulan santai dan terhibur untuk ke perjalanan lawatan sambil meninjau peluang peluang niaga di Kemboja.

Kemboja, secara rasmi dikenali sebagai Kerajaan Kemboja atau Cambodia dan pernah dikenali sebagai Empayar Khmer, adalah sebuah negara yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Indochina di Asia Tenggara. Mempunya bentuk mukabumi yang mendatar sejauh mata memandang.

Amat sukar untuk mendapatkan matawang Cambodian Riel di mana mana Money Changer di Pulau Pinang. Kami dinasihatkan supaya membawa USD dan ditukarkan di Lapangan terbang Phnom Penh. Sebenarnya USD amat diperlukan oleh peniaga disana. Rata rata peniaga meminta untuk dibayar dalam USD. Kebanyakan barangan yang dijual juga di pamerkan harga dalam USD.


Hadis riwayat Imam Al-Bukhari daripada Zubair bin Awwam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api lalu dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain baik mereka memberi atau tidak.”


Saturday, March 10, 2012

Kangar - Pak Bara - Koh Lanta - Krabi - Hatyai - Kangar

Siap. Semuanya telah siap sedia. Dari passport, insuran kereta, makanan, minuman, pakaian dan yang paling penting mood untuk mengembara juga telah sedia. Seawal jam 8.30 pagi kami telah berada di pintu masuk Wang Kelian. Pada waktu sebegini tidak banyak kereta yang ingin ke Thailand melalui pintu masuk ini. Kebanyakkan mereka akan masuk melalui Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar. Lagipun kereta kereta yang ingin masuk ke Thailand melalui Wang Kelian masih belum sampai lagi. Besok hari Krismas. Tentu banyak pelancung yang ingin menghabiskan cuti hujung tahun mereka dan ada diantara mereka yang memilih masuk ke Thailand  melalui Wang Kelian.


Urusan dengan pihak imigresen Malaysia dan Thailand berjalan lancar. Cuma pihak polis Malaysia yang bertugas pada hari itu ingin memastikan tiada apa apa yang melanggar tata susila undang undang Malaysia, lantas minta ditunjukkan geran kereta original. Mujurlah geran kereta  ada bersama dokumen perjalanan yang lain. Jika tidak, sedikit sebanyak akan menggangu kelancaran dan mood mengembara kami sekeluarga.




Setelah lebih satu jam memandu secara santai, melaui Wang Prachan, Chalong, Tha Phae, Khuan Pho, akhirnya kami sampai di Pantai Pak Bara didalam daerah La-ngu. 


Tujuan kami kesini kerana ingin menikmati keindahan laut dan menikmati makanan laut Thailand. Makanannya begitu sedap dan murah. Bayangkan makan tengahari satu keluarga 6 orang beserta minuman, baru 550 bhat. Itupun kami dikenakan harga pelancung rasanya, sabab sukar untuk  kami  berinteraksi dengan palayan yang tidak tahu berbahasa Malaysia mahupun Inggeris. Cuma senyuman yang terukir dibibir sambil sesekali mengganggukkan kepalanya. Entah faham entah kan tidak.  Akhirnya anak lelakiku  kedapur dan menunjukkan apa yang kami maksudkan. Namun itu semua amat menyeronokkan bagi kami sekeluarga. 


Setelah perut diisi, kami meneruskan perjalanan kami kesatu destinasi yang kami belum ketahui. Hanya berpandukan GPS dan sedikit info dari google earth (disemak malam sebelum bertolak) kami bergerak menyusuri bumi Thailand ini yang pada satu ketika dulu didalam gugusan kepulauan Melayu Nusantara.


Perjalanan begitu menarik sekali melalui jalan persisiran pantai Laut Andaman. Dengan kelajuan sekitar 80 -90 km/jam banyak kenderaan Thailand saling memotong kami. Perkara keselamatan amat penting disini. Jika terjadi kemalangan atau sesuatu musibah, masalah besar untuk kami sekeluarga. Bayangkan tiada siapa pun di Maaysia yang tahu di mana kami pada waktu ini.


--bersambung---

Wednesday, January 18, 2012

Danau Toba, Medan, Indonesia

Danau Toba, dari pandangan bilik hotel penginapan begitu tenang sekali. Air nya kebiruan beriak kecil takkala dihembus sang bayu begitu mengusik perasaan. Hotel tempat penginapan di Parapat ini terletak diatas puncak bukit mengadap ke Danau Toba. Cuaca begitu sejuk pada malam hari sehinggakan bilik bilik penginapan tiada di lengkapi alat penghawa dingin.

Cuma kalau mahu dikomenpun hanyalah kepada sarapan pagi yang disediakan. Tapi apalah sangat bagi kita orang pelancung ini. Yang penting perut diisi dan hati terhibur di tempat dan suasana baru ini. Mungkin selera kita dan mereka berbeza walaupun 'serumpun'.




Melihat jerih perit anak anak kecil suku Batak Toba ini mencari sesuap nasi, aku termanggu sejenak. Betapa beruntungnya anak anak kita di bumi sendiri. Tak hairanlah kalau mereka sanggup berdagang kemari kerana ingin menghadiahkan diri, sedikit kesenangan dan keselesaan hidup.

Berbekalkan sampan usang, mereka mengejar bot pelancung yang datang di sekitar "batu gantung" di Tasik Toba. Untung untung ada yang membaling Rupiah yang tersisa buat mereka. Apalah sangat sekadar 1 Rupiah itu (MYR 0.35) untuk dikongsi sesama mereka. Tapi, itu lah realitinya. Demi kelansungan, hidup mesti diteruskan.

Berlatarbelakangkan Pulau Samosir yang majoritinya penghuninya suku Batak Toba beragama Kristian, kanak kanak ini tampak ceria dan sedikit pun tidak menunjukan kesedihan dan keperitan hidup. Alam telah mengajar mereka erti perjuangan hidup dalam dunia Indonesia yang serba mencabar itu.


Perjalanan Dari Parapat ke Brastagi bukan lah sesuatu yang santai. Dengan keadaan jalan yang tidak begitu selesa menggundang banyak kegelisahan dan jemu yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hanya minat terhadap alam, telah mengantikan dengkuran dalam kenderaan. Mujurlah supir yang tidak banyak cakap dan sentiasa senyum itu menceriakan suasana. Pun begitu, semangat Acheh nya begitu terserlah apabila bertemu situasi pemanduan yang kurang bertolak ansur itu. Aku teringat satu papan tanda di tepi jalan yang tertulis "nyupir jangan ngantuk, ngantuk jangan nyupir". Sambil membunyikan hon yang kadang kala membingitkan telinga itu, beliau begitu cekap dia memandu dicelah celah kenderaan yang bertali arus itu.

Akan tetapi, segala kegusaran dan lenguh mengenderai Innova itu hilang apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa ini.

Sipiso piso menghempaskan diri begitu gagah sekali. Air nya yang deras menghempas batuan, begitu indah sekali seakan akan mengalunkan sebuah irama yang sukar di mengertikan. Air yang datang dari perut bumi, terjun setinggi 120 meter kedasar batuan menjadi sungai dan mengalir terus ke Danau Toba. Dingin percikan air halus begitu terasa sekali. Sesungguhnya alam itu adalah ilmu kepada yang mahu belajar dan memerhati.




Sunday, December 18, 2011

Pantai Penarik

Menyusuri jalan pantai ke Kuala Terengganu, aku tertarik untuk singgah di pantai Penarik.

Pantai yang bersih dan deruan ombak Laut Cina Selatan menggamit aku untuk singgah sebentar menikmati keindahan alam Terengganu Darul Iman.

Sesungguhnya Terengganu mempunyai terlalu banyak pantai yang indah. Kalau di negeri lain sudah pasti pantai secantik ini sudah dimiliki oleh hotel-hotel bernama besar dan dipasang papan tanda "pantai persendirian". Akan tetapi ini tidak terjadi di Terengganu. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Masih boleh dinikmati oleh sesiapa yang tahu menilai erti bersahabat dengan alam dan menafsir suara deruan ombak yang menghempas pantai.

Mungkinkah anak-anak cucu kita dapat bermain pasir dan berlari digigian pantai pada waktu-waktu mendatang? Hanya masa yang menentukan....

Saturday, December 17, 2011

Rumah Rakit

Kembara dari Tasik Kenyir ke Camaroon Highland melalui Gua Musang, aku terpanggil untuk singgah disini. Rumah rakit yang mendamaikan.

Kadang-kadang perlu juga rasanya kita "kembali kepada alam". Terasa waktu berlalu secara santai. Menghirup udara nyaman yang jauh dari pencemaran. Tiada apa yang perlu dikejarkan. Semuanya berjalan mengikut aturan masing-masing seperti yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa.

Jauh dari kekalutan dan kepura-puraan. Tiada internet, tiada TV berbayar, tiada eletrik, tiada penapis air, tiada liputan talipon, tiada surat khabar. Sungguh indah, sungguh damai.......

Tuesday, November 8, 2011

Tukun Kapal Russia

Dah lama aku tak keluar ke laut sebagai seorang pemancing. Tiba tiba perasaan itu datang seolah olah menyuruh aku mempersiapkan kelengkapan aku untuk turun ke laut.

Jiwa ini seolah olah terpanggil oleh deruan angin laut yang menampar pipi serta percikan halus air laut kala bot merempuh alun yang mengalun datang.

Aduh....perasaan ini sukar untuk aku menangkisnya.
Posted by Picasa

Saturday, November 5, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat.

Selamat menyambut kemenangan bagi mereka mereka yang berjaya mengharungi Wukuf Haji di Arafah. Semoga Haji mereka diterima Alllah SWT dan mendapat Haji yang Mabrur. "Sesungguhnya Haji yang Mabrur itu tiada lain balasannya melainkan Syurga".

Aku masih lagi menunggu giliran untuk dipanggil mengerjakan haji. Mungkin kah di tahun hadapan atau tahun-tahun yang berikutnya akan sampai giliran aku pula. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mengetahui akan sesuatu. Dan padaNyalah aku berserah.

Mengikut giliran Tabung Haji aku sepatutnya mengerjakan Haji pada tahun 2015. Tahun hadapan Insyaalah aku akan menyambung semula kursus Haji yang tergendala dua tahun yang lalu gara kesibukan tugas dan kehidupan dunia yang tidak pernah henti ini.

Tahun ini seperti tahun-tahun yang berlalu, aku dan isteri ikut mengerjakan ibadah korban. Kali ini kami memilih untuk mengerjakan ibadah korban di sebuah estet yang rata-rata penduduknya daif di Pendang Kedah. Semoga Allah SWT menerima korban kami seperti Allah menerima Korban Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Amiiinnnn.